12 Feb 2012

MEMFORMAT SEMULA PEMACU KERAS LUARAN

MEMFORMAT SEMULA PEMACU KERAS LUARAN


Anda mungkin telah mencuba sistem operasi (OS) Parted Magic untuk menghapuskan data dalam pemacu keras. Kini, anda boleh mencuba fungsi lain seperti memformat kembali pemacu keras luaran kepada format yang diingini. Bagi melaksanakan operasi ini, anda boleh mencipta sebuah LiveCD dari fail versi terbaharunya; Parted Magic 6.7.

Sebelum ini, anda sudah diajar mengenai fungsi dan cara guna sistem operasi (OS) Parted Magic. Antaranya, sesuai untuk melupuskan semua data dalam pemacu keras supaya sukar ditemui semula. Atau, digunakan sebagai perantara untuk menyalin dan memindahkan data dalam sistem Windows yang gagal melepasi proses "boot". Kini, anda boleh mencuba fungsi yang lain. Contohnya, memformat semula pemacu keras luaran (USB) kepada format yang diingini. Bagi melaksanakan operasi ini, anda boleh mencipta sebuah LiveCD dari fail versi terbaharunya; Parted Magic 6.7.

Sistem LiveCD yang terhasil boleh digunakan untuk mengurus pemacu keras anda. Melalui aplikasi Partition Editor yang disediakannya, anda boleh memformat kembali pemacu keras jenis dalaman dan luaran (USB). Malah, aplikasi ini boleh menggantikan fungsi utiliti memformat cakera dalam persekitaran DOS atau Windows. Antara format yang disokongnya ialah btrfs, ext2, ext3, ext4, fat16, fat32, hfs, hfs+, jfs, linux-swap, ntfs, reiserfs, reiser4, dan xfs. Kini, proses menukar pemacu USB yang berformat NTFS kepada format FAT32, HFS+, atau EXT4 menjadi lebih mudah.

CARA PENGGUNAAN

Langkah 1:

Dapatkan fail perisian BurnAware Free 4.0 di http:// www.burnaware.com/burnaware_free.html dan fail perisian Parted Magic 6.7 di http://partedmagic.com/doku.php. Anda juga boleh menemuinya di tapak web yang menawarkan aneka perisian seperti Softpedia (www.softpedia.com) atau sumber lain yang seumpamanya. Fail masing-masing bersaiz 4.3MB dan 185MB. Perisian BurnAware pula menyokong pelbagai versi Windows. Selepas dimuat turun, tempatkan kedua-dua fail perisian tersebut dalam sebuah folder untuk dipasang

Langkah 2:

Seterusnya, klik fail BurnAware Free 4.0 tadi bagi memulakan proses pemasangan. Ketika dipasang (install) anda perlu memilih lokasi untuk menempatkan direktori fail yang akan dihasilkan (Rajah 2). Kemudian ikuti arahan yang seterusnya hingga proses pemasangan tamat dan berjaya. Proses ini biasanya mengambil masa sekejap sahaja. Sebaik sahaja selesai dipasang, anda boleh membuka atau meninjau direktori fail yang terhasil. Di sini, anda akan menjumpai sebuah fail yang berlabel BurnAware.exe bersama folder serta fail lain.

Langkah 3:

Klik pada fail tersebut untuk mengaktifkan perisian ini, sekali gus menayang tetingkap atau pemuka utamanya. Di sebelah atasnya ada barisan menu seperti Compilation dan Settings. Sementara di bahagian tengah pula ada beberapa butang fungsi yang terbahagi kepada 4 kategori: Data, Mutimedia, Disc Images, dan Utilities. Kemudian klik butang berlabel Burn Image (dalam kategori Disc Images) untuk membuka tetingkapnya. Pilihan Burn Image ini juga diletakkan dalam kategori Disc Images yang berada di bawah menu Compilation

Langkah 4:

Apabila tetingkap yang berlabel Disc Image dibuka, klik butang berlabel Browse (Rajah 5). Melalui tetingkap Open, pilih fail Parted Magic tadi dan klik butang Open. Fail berkenaan akan dimuatkan dan kelihatan pada ruang yang berlabel Disc image path. Selain itu, anda boleh memilih kelajuan menulis pada cakera selain saiz yang hendak digunakan. Selepas itu, klik butang yang berlabel Burn di penjuru kanan dan bawah tetingkap. Proses merakam (burn) fail Parted Magic pun bermula dan anda perlu tunggu sebentar hingga prosesnya selesai.